Semusim Cinta – Bab Lima

Ramadan menjelang tiba buat julung kalinya. Seluruh umat Islam bertungkus-lumus membuat persiapan bagi menyambut ketibaan bulan yang mulia itu. Ada yang mengambil kesempatan ini untuk mencari rezeki dengan berniaga di bazaar, tak kurang juga yang berazam untuk khatam Al-Quran sebelum tibanya Syawal kelak. Kini mereka berada dalam penghujung bulan, dan Arman juga tidak terlepas dalam perancangannya sendiri, agar Ramadan tahun ini lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Berbuka kat mana harini? Bunkface jom!”, celoteh Hassan, teman Arman yang tinggal di rumah sewa berhadapan dengan rumahnya.

Arman yang sedang membelek-belek telefon bimbitnya itu, mendongakkan kepalanya.

“Ala sorry, hari ni aku ade hal sket.”
“Camni la member, orang ajak taknak ikut.”
“Aku dah janji keluar dengan orang la.”
“Keluar dengan sape plak?”

“Dengan sapa lagi, orang sekampung hang la!”, Safee datang menyampuk perbualan.

“Oo padanla, member tengah bahagia sekarang..”

Arman hanya mampu tersenyum, dia kembali meneliti telefon bimbitnya, perbualan SMS antara dia dan Sarah Rania terpapar di skrin.

“Ran, petang ni awak free tak?”
“Kenapa?”
“Hajatnya kalau awak takde apapa, saya nak ajak keluar berbuka sama.”
“Saya ada keje sket la Man, nak kena hantar esok.”
“Ala kejap je, habis makan kita balik la.”
“Kalau weekend ni?”
“Nak kena hari ni jugak.”
“Hm? Kenapa plak?”
“Ada la sebabnya, nanti saya bagitau. Petang ni jam enam setengah saya tunggu kat depan guard house, ok?”
“Okay.”
“Jangan pakai lawa sangat, nanti saya jatuh hati.”

Arman tiba pada SMS yang terakhir, perbualan mereka terhenti di situ.

***

Arman meneliti jam tangannya. Jarum jam menunjukkan pukul 6.45 petang. Mana pulak minah sorang ni, datang ke tak. Arman mengeluarkan telefon bimbitnya, lalu mendail nombor Sarah Rania.

“Kejap kejap, on the way..”, talian dimatikan.

Selang beberapa minit kemudian, kelibat gadis itu pun kelihatan. Langkahnya laju, ibarat mengejar tren yang bakal bertolak.

“Ya Allah sorry lambat! Tertido, lepastu sedar-sedar dah jam enam suku. Kelam kabut bersiap. Sorry sangat-sangat. Dah lama ke tunggu?”
“Takde la, baru sampai jugak..”

Tipu sunat takpe.

Arman memandang gadis itu, dia terasa seperti ada suatu kelainan tentangnya.

“Cantik tudung. Baru eh?”
“Hm? Biasa-biasa je.”
Purple. Padan dengan awak.”

Sarah Rania tersenyum.

So nak pergi berbuka kat mana hari ni?”
“Eh, dia yang ajak, dia tanya kita pulak.”
“Secret Recipe jom.”
“Okay je. Tapi ada tempat ke?”
“Haha entah. Rasanya ada, sebab dah tengah-tengah bulan camni orang tak ramai sangat kot. Kalau penuh kita cari jela tempat lain.”

Langkah disusun, menuju ke restoran tersebut. Dalam perjalanan, mereka berbual-bual. Tidak banyak yang dibicarakan, sekadar bertanya perihal assignment dan seumpamanya. Ada kalanya tatlaka teringat akan kisah yang lucu, masing-masing tertawa kecil. Tidak lama kemudian, mereka berdua melintasi gerai nasi lemak bunkface. Nama tersebut bukanlah nama asal premis berkenaan, namun ekoran salah seorang pekerjanya yang wajahnya mirip anggota kumpulan musik Bunkface, mereka menggelar kedai itu sebegitu rupa. Arman menjeling ke arah gerai tersebut. Kelibat rakan-rakannya yang lain belum kelihatan. Tido lagi ke apa budak-budak ni..

Secret Recipe. Restoran francais pilihan bagi mereka yang ingin menjamu selera dalam suasana yang semi-formal dan selesa. Menu yang disediakan juga sedap-sedap belaka, ditawarkan pada harga yang sederhana. Seperti yang dijangkakan Arman, pelanggan di restoran pada hari itu tidak seramai hari-hari sebelumnya. Memang lazimnya menjelang sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, orang ramai lebih gemar berbuka puasa di kediaman masing-masing. Mudah, dapat bersiap awal untuk menunaikan ibadah, di samping mencari malam Lailatul Qadar.

Setelah mengambil tempat duduk, mereka mula memesan hidangan. Arman memilih menu kegemarannya, nasi goreng ayam black pepper, manakala Sarah Rania pula…

Lasagna?”
Yes, lasagna.”
“Je??”
“Ye la. Kenapa?”
“Cukup ke?”
“Cukup. Orang kata berhenti sebelum kenyang.”
“Hmm untung la bakal suami awak, takyah masak banyak-banyak.”
“Untung apanya, alih-alih saya jugak yang masak. Tak camtu?”

Masing-masing tertawa.

Azan maghrib berkumandang di radio yang dipasang di dalam restoran tersebut. Memang lazimnya tempat-tempat makan akan berbuat demikian sepanjang bulan Ramadan, memudahkan para pelanggan untuk mengetahui akan bila masuknya waktu berbuka. Sejurus selepas membaca doa makan, mereka mula menjamu selera. Masing-masing senyap, tiada sepatah kata yang dituturkan. Mungkin agak segan, maklumlah ini kali pertama mereka makan bersama. Atau mungkin juga masing-masing kelaparan setelah sehari suntuk berpuasa.

Selesai sahaja makan, Arman mula bersuara.

“Ran.”
“Ye?”
“Selamat hari jadi.”

Sarah Rania kehairanan.

“Tapi birthday saya kan bulan empat.”
“Ye saya tahu, 18 kan? Tapi tu kalendar Masihi. Kalau ikut kalendar Hijrah, tarikh tu bersamaan dengan 22 Ramadan, iaitu pada..”
“Hari ni?”

Arman mengangguk perlahan.

Sarah Rania tergamam. Sifatnya yang kurang bersosial memang rata-rata sedia maklum, hinggakan profil Facebook pun tidak dimilikinya. Tarikh lahirnya juga bukanlah sesuatu yang public, apatah lagi tarikh tersebut dalam kalendar Hijrah. Tiada kata-kata yang dapat diungkapnya, gadis itu hanya mampu tersenyum malu.

“Eh dah lewat ni, nak solat maghrib lagi. Jom balik.”

Mereka bangkit daripada tempat duduk masing-masing, lalu menuju ke kaunter bayaran. Pada masa yang sama, Arman sempat membeli dua potong kek coklat yang dijual di kaunter tersebut, salah satu daripadanya dihulurkan kepada Sarah Rania.

“Banyak sangat beli sampai tak cukup tangan ke?”
“Sekali sekala, lama tak makan. Tolong bawakkan satu ye.”

Sepanjang perjalanan pulang, Sarah Rania terus membisu. Mungkin terlalu banyak yang berada di fikirannya; ajakan untuk keluar makan bersama, sehinggalah kepada kejutan yang tanpa diduga. Ada kalanya mata mereka bertentang, namun tiada bicara yang diungkapkan, masing-masing sekadar mengukir senyuman ringkas.

Setibanya di persimpangan berhampiran tempat tinggal Arman, Sarah Rania kembali menghulurkan kek itu kepadanya. Arman tertawa kecil.

“Kenapa gelak?”
“Ran, sebenarnya kek tu untuk awak. Sengaja saya suruh awak bawa, kalau tak nanti bila sampai kat sini mesti awak segan nak terima.”
“Ala Man, susah-susah je awak ni..”
“Takde susah lah. Dulu masa birthday saya pun awak ada bagi hadiah kan. It’s the least I can do Selamat hari lahir, Sarah Rania.”
“Terima kasih Man.”
“Sama-sama. Jalan leklok tau.”

Mereka berpisah. Arman ke kanan, manakala Sarah Rania ke kiri, membawa diri masing-masing. Bagi yang melihat, pastinya tiada tanggapan lain daripada gerak geri mereka itu, bahawa ianya cuma perpisahan yang biasa. Namun, jauh di sudut hati kedua insan itu, mereka mengetahui, bahawa perpisahan inilah juga yang kelak akan membawa mereka ke satu destinasi yang sama.

Advertisements

3 thoughts on “Semusim Cinta – Bab Lima

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s