Semusim Cinta – Bab Empat

Indahnya suasana, kita di hari ini, ceria, bersama bermesra..

Arman tersedar daripada lamunannya. Lama tak dengar nasyid ni. Dia menguatkan volume pada telefon bimbitnya itu, kemudian melemparkan pandangannya ke luar bas. Sebuah bangunan tinggi dengan senibina moden kelihatan dari jauh. Bangunan TM yang bermotifkan pucuk rebung itu merupakan antara bangunan tinggi pertama yang dapat dilihat, menjadi mercu tanda kepada sesiapa sahaja yang bakal memasuki pinggir bandar metropolitan tersebut.

Kuala Lumpur.

Pada hari itu, Kumpulan Empat bertolak ke ibu negara untuk aktiviti ko-kurikulum mereka. Beberapa minggu sebelumnya, mereka mengadakan perbincangan untuk mengadakan aktiviti yang dirasakan bakal memberi manfaat terbanyak untuk mereka sewaktu berada di luar negara. Beberapa cadangan dikemukakan, antaranya mempelajari sedikit sebanyak tentang budaya Jepun, serta membuat kenalan baharu dengan pelajar lain yang juga bakal menyambung pelajaran ke Negara Matahari Terbit itu kelak. Setelah dipersetujui oleh ahli-ahli kumpulan, akhirnya mereka sepakat untuk mengadakan lawatan ke dua tempat utama, iaitu Japan Foundation Kuala Lumpur dan Institut Bahasa Teikyou, kedua-duanya terletak di Mid Valley.

Bagaimana cuaca pada hari tersebut: langit cerah tidak berawan, begitulah juga perasaan di dalam benak hati Arman. Moodnya sungguh baik pada hari itu. Benar, siapa tidak gemar melepaskan diri daripada kepompong pembelajaran di dalam bilik darjah, keluar menghirup udara segar dan mengosongkan minda buat seketika. Namun bagi Arman, bukan itu sebab utamanya. Perlahan-lahan dia meninggikan tubuhnya, lalu menjenguk ke bahagian belakang bas. Selang beberapa baris daripada tempat duduknya, seorang gadis bertudung coklat duduk bersendirian, pandangannya jauh ke luar.

Ran.

Semenjak perkenalan pertama mereka beberapa bulan yang lalu, boleh dikatakan kerap juga mereka berhubung. Mungkin sewaktu berada di bilik darjah mereka berlagak seperti biasa, namun itu semua lakonan semata-mata. Pulang sahaja daripada kelas, mereka saling berbalas SMS sesama sendiri. Telefon bimbit LG yang dahulunya juga tidak lekang daripada tangan Arman, kini seperti dilekat dengan super glue pula. Malah, sewaktu tidur juga handset itu tersimpan rapi di bawah bantalnya. Selalu juga rakan-rakannya bertanya tentang perihal dia dan Sarah Rania, tiap kali juga Arman terus menafikan. “Takde lah, kawan biasa je”. Jawapan itu yang selalu diungkapkan. Di mulut disebutnya “tiada”, namun soal hati pula…

Bas tiba-tiba membrek. Arman terduduk, jantungnya berdegup kencang. Eh kenapa pulak ni. Kelajuan bas itu dapat dirasakan semakin perlahan, sebelum berhenti sepenuhnya di tepi jalan. Tidak lama kemudian, Miss Nora bangkit daripada tempat duduknya.

“Kita singgah sini kejap untuk solat Jumaat. Makanan ada kat depan ni, ambik sorang satu. Sampah buang balik dalam plastik ni okey.”

Arman memandang ke luar. Ternyata, bas yang mereka naiki itu telah berhenti di sebelah masjid berdekatan dengan Universiti Malaya. Fuh, saspen je. Arman bangkit daripada tempat duduknya, hampir-hampir bertembung dengan Sarah Rania yang juga sedang menuju ke hadapan bas.

“Eh, Man..”

Masing-masing terhenti. Mata bertentang mata.

“Man, awak jalan dulu.”
“Eh takpe, awak lah dulu. Ladies first kata orang.”
“Takpe lah, awaklah jalan dulu..”

“Amboi gaduh-gaduh manja pulak. Cepatlah sket, orang lain nak jalan jugak!”, kedengaran suara Sham berseloroh.

Arman bergegas ke hadapan bas, mengambil sebungkus makanan lalu keluar daripada bas tersebut. Dia terkenang saat dia dan Sarah Rania saling memandang, tanpa disedari dia tersenyum sendirian. Ada la yang tak khusyuk dengar khutbah nanti ni..

***

Selesai solat Jumaat, bas kemudiannya bertolak ke Mid Valley Megamall untuk ke destinasi pertama: JFKL. Setibanya di sana, mereka diberi taklimat mengenai fungsi dan peranan organisasi berkenaan. Kemudian,  mereka turut serta dalam pelbagai aktiviti yang bersifatkan kebudayaan Jepun. Antaranya ialah kaedah mengikat bekal makanan menggunakan sehelai kain yang digelar furoshiki, adab tertib sewaktu berada di dalam bilik tatami, pemakaian yukata, serta melihat pameran barangan tembikar Jepun. Kira-kira dua jam kemudian, mereka kemudiannya menaiki bas untuk ke IBT.

Berbeza dengan suasana ilmiah di JFKL, ketibaan mereka di IBT disambut meriah oleh pelajar-pelajar yang hadir pada hari tersebut. Di situ pula aktiviti yang dijalankan lebih kepada aktiviti-aktiviti santai: sesi suai kenal dan beramah mesra, permainan board games dan seumpanya. Para pelajar di situ juga turut bermurah hati dengan memesan pizza untuk menjamu tetamu yang hadir. Usainya sesi bergambar, ahli-ahli Kumpulan Empat yang kekenyangan itu menaiki bas untuk pulang ke UiTM. Meskipun keletihan, raut wajah keriangan jelas terpancar pada setiap anggota yang hadir, mereka bukan sahaja dapat mengenali budaya Jepun secara lebih terperinci, malah juga mendapat ramai kenalan baharu.

Dalam perjalanan pulang, Arman membelek-belek telefon bimbitnya. Sambil meneliti gambar-gambar yang diambil,  sekeping gambar membuatnya terhenti buat seketika, dirinya terkenang akan kejadian di JFKL siang tadi. Pada waktu itu mereka berpusu-pusu untuk memasuki lif yang bakal membawa mereka ke ruang resepsi JFKL di tingkat 13. Dalam kekalutan itu, Arman mendapati bahawa dirinya berdiri betul-betul di sebelah Sarah Rania. Pada mulanya dia berasa segan, namun hasrat yang telah lama dipendam ingin diluahkan juga. Dengan nada yang rendah, Arman bersuara.

“Ran, agak-agak kalau saya ajak awak bergambar nak tak?”
“Gambar? Buat apa?”
“Ala saje, kenang-kenangan. Asyik-asyik gambar group je, gambar berdua la pulak.”
“Hm? Kat mana?”

Arman segera menghulurkan handsetnya kepada Marcella, rakan satu kumpulan yang juga berada di dalam lif tersebut.

“Ella, tolong tangkap gambar kitorang!”

Belum sempat Sarah Rania berkata apa-apa, telefon bimbit itu sudah pun dihalakan ke arah mereka berdua.

*klik!*

Arman membuka options pada gambar tersebut, lalu memilih set as wallpaper. Kenangannya bersama gadis itu kini diabadikan pada skrin utama telefon bimbitya. Dia merenung lama akan gambar itu sambil tersenyum, sehingga akhirnya dia akur dengan kepenatan yang dialami lalu terlelap sepanjang baki perjalanan bas tersebut menuju  ke UiTM.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s