Semusim Cinta – Bab Dua

Ishh kalah lagi! Arman merungut, khusyuk bermain game di telefon bimbit Sony Ericsson miliknya, hadiah daripada ibu bapanya sempena Hari Graduasi MRSM dua tahun lepas.

Seorang sensei meluru masuk ke dalam kelas, seperti ada hal penting yang ingin disampaikan. Di tangannya terdapat beberapa helaian kertas berwarna putih.

Eh, waktu rehat tak habis lagi ni, bisik hati Arman sambil menjeling jam tangannya. Sensei itu terus berjalan ke arah papan kenyataan. Dia mengambil dua helai kertas yang dibawa bersama, lalu melekatkannya ke papan berkenaan dengan pepaku tekan.

“Ini senarai nama Kumpulan Ko-Kurikulum masing-masing. Boleh semak nama dan nombor kumpulan. Petang ni selepas waktu kelas ada perjumpaan pertama. Tempat perjumpaan boleh lihat pada kertas yang satu lagi. Jangan lewat.”, celoteh sensei tersebut dalam bahasa Jepun.

Kecoh la. Arman bangkit daripada tempat duduknya, langkahnya berat diatur ke arah kertas yang tertampal itu. Nama-nama pelajar kelas tersebut disusun mengikut abjad, di sebelahnya tertera nombor kumpulan. Kertas yang satu lagi pula dilakar sebuah peta bilik-bilik darjah di blok tersebut. Arman menyemak kedua-duanya. Takde la jauh sangat, sebelah surau je rupanya. Dia menarik nafas lega.

***

Arman tiba di bilik darjah U-07 awal sepuluh minit daripada waktu yang tertera di papan kenyataan. Dia melangkah masuk ke dalam bilik darjah tersebut. Kosong. Eh betul ke tempat ni? Arman keluar daripada bilik darjah tersebut, lantas terserempak dengan kelibat rakan sekelasnya.

“In! Ko group mana?”
“Empat! Ko Aman?”
“Eh sama la! Perjumpaan kat sini kan?”
“A’ah, sini la. Nape?”
“Takde orang pun. Aku ingat salah tempat dah tadi.”
“Ala ko tu yang datang awal sangat. Tunggu jelah kejap, nanti ada la tu.”

Farahin, rakan sekelas Arman sejak tahun satu lagi. Tempat duduknya betul-betul di hadapan tempat duduk Arman. Pandai berbahasa Jepun, sehinggakan rakan-rakan yang lain turut menggelarnya sensei. Ada sahaja masalah dengan shukudai, jumpa sahaja dengan Farahin. Pasti beres!

Sepuluh minit berlalu. Kelibat rakan-rakan yang lain mula kelihatan. Satu-persatu mereka masuk ke dalam bilik darjah, lalu mengambil tempat masing-masing. Bilik darjah yang tadi sunyi sepi kini riuh-rendah dengan perbualan dan gelak ketawa ahli-ahli Kumpulan Empat. Arman mengambil tempat duduk bersebelahan tingkap, lalu mengeluarkan telefon bimbitnya. Kali ni mesti high score punyalah!

Tidak lama kemudian, seorang pensyarah berkebaya peach melangkah masuk ke dalam bilik darjah tersebut, sehelai kertas A4 di tangannya. Dia meneliti kandungan kertas itu, lalu mula mengira bilangan pelajar yang hadir. Raut wajahnya kehairanan.

“Mana lagi sorang?”

Masing-masing berpaling sesama sendiri, cuba untuk mengenal pasti siapa gerangan yang belum tiba itu.

“Maaf puan, saya terlambat.”

Semua mata tertumpu pada muka pintu bilik darjah berkenaan. Arman yang dalam kekhusyukan bermain game, perlahan-lahan mengangkat kepalanya. Telefon bimbitnya hampir-hampir terlepas daripada genggaman. Tudung bawal coklat itu sudah tidak asing lagi.

Sarah Rania.

“Kamu dari mana?”
“Maaf puan, tadi saya pergi jumpa sensei sekejap, tanya pasal kerja rumah.”
“Oh gitu.. hmm masuklah. Kita pun baru nak start.”

Gadis itu tertunduk-tunduk malu. Dia mengambil tempat duduk yang paling hampir dengan pintu masuk bilik darjah, bersebelahan dengan tempat duduk Farahin.

“Okey mula-mula sekali saya nak perkenalkan diri. Nama saya Norain, boleh panggil saya Miss Nora. Harini kita just buat perjumpaan biasa-biasa je. Tapi sebelum tu saya nak kamu semua isi nombor telefon masing-masing kat sini, senang saya nak contact kalau ada apa-apa nanti.”, kata pensyarah berkenaan sebelum menghulur kertas tersebut kepada Sarah Rania. Gadis itu mengeluarkan sebatang pen daripada begnya lalu mula menulis.

Perjumpaan tersebut bermula dengan sesi suai kenal. Kemudian, AJK-AJK kumpulan dilantik. Meskipun berat hati untuk menerima apa-apa jawatan, akhirnya Arman akur tatkala ditugaskan sebagai AJK pengangkutan. Selepas itu, mereka membincangkan tentang cadangan aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun tersebut. Kira-kira sejam kemudian, perjumpaan itu pun selesai.

“Terima kasih atas kerjasama semua, kita jumpa lagi minggu depan. Eh, senarai tadi mana?”
“Ni puan”, kata Arman sambil menghulurkan kertas A4 itu.
“Okey. Ha pen tu jangan lupa pulak.”

Pen? Arman menjeling ke atas mejanya. Eh ni macam..

Cepat-cepat Arman mendongak. Dia ternampak Farahin, tempat duduk di sebelahnya kosong.

“In! Budak sebelah ko tadi mana?”
“Baru je keluar. Kenapa?”

Arman menyambar pen itu lalu bergegas ke luar bilik darjah. Dia menoleh ke kanan, kemudian ke kiri, sebelum ternampak kelibat gadis berkenaan.

“Sarah Rania!”

Langkahnya terhenti, perlahan-lahan dia berpaling ke arah suara yang memanggilnya. Arman berlari-lari anak ke arah gadis tersebut, sebelum menghulur pen itu kepadanya.

“Oh! Susah-susah je. Terima kasih ye Man.”

Man? Tidak pernah ada orang memanggilnya dengan nama itu.

“Alah tak susah pon, biasa je. Sama-sama, Sarah Rania.”
“Eh? Haha. Panggil Ran je.”

Gadis itu melemparkan senyuman, sebelum beredar dari situ.

Ran..

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s